Tuanku Abdul Halim lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14


Kuala Lumpur :: Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Syah hari ini melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam acara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.

Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama ialah dari 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975 semasa berusia 43 tahun.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (khas) di Istana Negara pada 14 Oktober lepas untuk lima tahun berkuatkuasa hari ini, bagi menggantikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 semalam.

Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Istiadat hari ini merupakan istiadat yang seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar, yang mula beroperasi pada 15 November lepas.

Upacara bermula jam 11.15 pagi dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-227 (khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh baginda di Balairong Seri.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajudin Putra Jamalullail.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian menyembah surat sumpah jawatan kepada Tuanku Abdul Halim, yang memakai pakaian diRaja Kedah yang dikenali sebagai ‘Sikap’ yang terdiri daripada jaket pendek, berbelah dihadapan dan berkolar tinggi lengkap dengan tenggolok, seluar, sampin dan bengkung serta berkeris.

Baginda kemudian melafazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Majlis Raja-Raja.

Sultan Perak Sultan Azlan Syah dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Syah menjadi saksi.

Istiadat hari ini juga merupakan upacara melafaz sumpah dan menandatangi surat sumpah jawatan sebagau Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Ia diikuti bacaan doa dipimpin Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian memohon menangguhkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke suatu masa ditetapkan.

Ini disusuli istiadat menandatangani surat pengisytiharan memegan jawatan oleh Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, diikuti dengan pembacaan pengisytiharan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Istiadat diteruskan dengan Sultan Muhammad V menandatangi surat pengisytiharan memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Najib membaca pengisytiharan tersebut.

Istiadat hari ini dihadiri oleh Raja-Raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Muhammad Al-Muktafi Billah Shah.

Turut hadir kesemua empat Yang Dipertua Negeri, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet serta ketua-ketua jabatan.

Istiadat yang disiarkan secara langsung oleh RTM1 diakhiri dengan bacaan doa dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Tuanku Abdul Halim kemudian menerima menghadap menteri-menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan diketuai Perdana Menteri di Bilik Seri Mahkota.

sumber :: Bernama


1 responses to “Tuanku Abdul Halim lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14

Pendapat anda