Tuanku Abdul Halim lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14


Kuala Lumpur :: Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Syah hari ini melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam acara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.

Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama ialah dari 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975 semasa berusia 43 tahun.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (khas) di Istana Negara pada 14 Oktober lepas untuk lima tahun berkuatkuasa hari ini, bagi menggantikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 semalam.

Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Istiadat hari ini merupakan istiadat yang seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar, yang mula beroperasi pada 15 November lepas.

Upacara bermula jam 11.15 pagi dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-227 (khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh baginda di Balairong Seri.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajudin Putra Jamalullail.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian menyembah surat sumpah jawatan kepada Tuanku Abdul Halim, yang memakai pakaian diRaja Kedah yang dikenali sebagai ‘Sikap’ yang terdiri daripada jaket pendek, berbelah dihadapan dan berkolar tinggi lengkap dengan tenggolok, seluar, sampin dan bengkung serta berkeris.

Baginda kemudian melafazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Majlis Raja-Raja.

Sultan Perak Sultan Azlan Syah dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Syah menjadi saksi.

Istiadat hari ini juga merupakan upacara melafaz sumpah dan menandatangi surat sumpah jawatan sebagau Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Ia diikuti bacaan doa dipimpin Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian memohon menangguhkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke suatu masa ditetapkan.

Ini disusuli istiadat menandatangani surat pengisytiharan memegan jawatan oleh Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, diikuti dengan pembacaan pengisytiharan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Istiadat diteruskan dengan Sultan Muhammad V menandatangi surat pengisytiharan memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Najib membaca pengisytiharan tersebut.

Istiadat hari ini dihadiri oleh Raja-Raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Muhammad Al-Muktafi Billah Shah.

Turut hadir kesemua empat Yang Dipertua Negeri, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet serta ketua-ketua jabatan.

Istiadat yang disiarkan secara langsung oleh RTM1 diakhiri dengan bacaan doa dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Tuanku Abdul Halim kemudian menerima menghadap menteri-menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan diketuai Perdana Menteri di Bilik Seri Mahkota.

sumber :: Bernama


Gagal diperkosa, wanita dicampak dari pacuan empat roda


Ampang :: Seorang wanita berusia 35 tahun melalui detik cemas apabila diserang dua lelaki yang mengacukan pisau dan memaksanya menaiki sebuah pacuan empat roda.

Wanita terbabit yang bimbang dicederakan menaiki kenderaan itu sebelum dibawa lari.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, mangsa yang tinggal di sebuah pangsapuri berhampiran Pandan Indah, di sini, baru saja meletakkan kenderaan sebelum dihampiri sebuah kenderaan lain.

“Mangsa terkejut sebaik seorang lelaki turun dan mengacukan pisau,” katanya.

Menurutnya, mangsa dipercayai mahu dibawa ke kawasan lain.

“Suspek cuba merogol mangsa di dalam kenderaan berkenaan namun mangsa meronta-ronta dan menjerit ketakutan,”

“Suspek menumbuk dan menampar mukanya serta memberi amaran supaya berdiam sekiranya tidak mahu dicederakan dan dirogol,” katanya.

Beliau berkata, beberapa jam kemudian suspek memberhentikan kereta dan mencampak mangsa di kawasan Taman Melawati, di sini.

Mangsa yang cedera di muka dan badan menghubungi kakaknya sebelum dibawa ke hospital serta membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amirudin Jamaludin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

sumber :: myMetro


Warga Afrika larikan diri, tekad terjun bangunan


Puchong :: Bimbang dirinya dicekup kerana tinggal lebih tempoh di negara ini, seorang lelaki warga Nigeria nekad terjun dari tingkat 3 sebuah apartmen untuk melarikan diri dalam kejadian di Bandar Bukit Puchong 2, semalam.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana hanya mengalami cedera ringan sebelum ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Selangor.

Ketua Pengarah Imigresen Selangor, Amran Ahmad berkata, dalam operasi sama, seorang warga Nigeria cedera dibahagian kepala apabila cuba melarikan diri selepas pegawai imigresen memperkenalkan diri untuk membuat pemeriksaan.

Pergelutan selama beberapa minit dengan penguatkuasa imigresen menyebabkan dia cedera dan menerima 10 jahitan selepas menerima rawatan di hospital berdekatan.

Amran berkata, dalam operasi bermula jam 12.30 tengah malam dan berakhir tiga jam kemudian berjaya menahan 15 orang masing-masing dari Nigeria, Botswana, Uganda dan Pakistan kerana kesalahan tinggal lebih masa.

sumber :: myMetro


Pengasih sedia bantu ‘janda gengster’


Kuala Lumpur :: Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), mengalu-alukan janda anak dua yang kisahnya menjadi paparan muka depan Metro Ahad semalam, mendapatkan bantuan segera dari rumah Pengasih.

Pelawaan ikhlas itu disuarakan Pengerusinya, Datuk Yunus Pathi, sejurus selepas beliau membaca kisah hidup wanita dikenali sebagai Zalika atau Ika bersama dua anaknya itu.

Menurut Yunus, beliau sedih dan bersimpati dengan nasib malang menimpa tiga beranak terbabit terpaksa menjalani kehidupan songsang, gara-gara putus tempat bergantung.

“Saya sudah baca (laporan akhbar) pagi tadi (semalam) dan sedih dengan apa yang berlaku terhadap mangsa, terutama anaknya. Menilai kehidupan wanita terbabit dari sudut kasar, saya rasa besar kebaikannya jika dia dan anaknya dibantu mendapatkan kehidupan sempurna serta terjamin di Pengasih,” katanya ketika menghubungi Harian Metro semalam.

Menurut Yunus, beliau yakin Zalika dan anak-anaknya boleh melalui proses kehidupan yang lebih baik, bahagia dan selamat sekiranya wanita terbabit menerima pelawaan Pengasih.

“Datanglah ke rumah Pengasih… untuk Zalika, kita akan bantu dari sudut pemulihan dan motivasi diri, manakala anaknya pula boleh tinggal bersama sementara waktu atau ditempatkan di rumah perlindungan bersesuaian,”

“Kalau Zalika bimbang berjauhan dengan anak, kita bagi dia kesempatan melihat zuriatnya bila ada kelapangan,” katanya.

Yunus berkata, kekecewaan dihadapi wanita muda itu perlu diubati dan anaknya wajar diberi kesempatan untuk menjalani kehidupan normal.

“Bagi pihak Pengasih, saya sangat mengalu-alukan kehadiran Zalika untuk diberi bantuan segera. Kalau sudi dia boleh menghubungi Pegawai Pengasih, Zamhani Busu di talian 011-12416167 atau datang ke rumah Pengasih antara jam 10 pagi hingga 5 petang,”

“Kami di sini ikhlas ingin membantu Zalika mendapatkan kehidupan lebih baik demi masa depan anak-anaknya,” katanya.

sumber :: myMetro


Warga Malaysia belanja purata RM46 sebulan bagi internet mudah alih


Kuala Lumpur :: Rakyat Malaysia membelanjakan purata US$15 (RM45) sebulan bagi Internet mudah alih, satu segmen yang berkembang lebih dari sekali ganda sejak tahun lepas dengan pertumbuhan dijana terutamanya oleh pengguna dalam golongan usia 15-25 tahun.

Empat kegiatan utama berkaitan mudah alih yang paling digemari oleh rakyat Malaysia ialah menghantar emel, mengakses laman perangkaian sosial, memuat turun nada dering dan menghantar mesej segera, demikian menurut kaji selidik Indeks Net 2011 Yahoo! hari ini.

“Penggunaan telefon bimbit yang ada ciri pintar dan pelan data termampu, ciri-ciri canggih seperti fungsi panggilan dan teks, capaian kepada laman web mudah alih dan ciri-ciri multimedia memang lumrah di kalangan rakyat Malaysia,” kata kaji selidik itu.

DiGi adalah penyedia perkhidmatan telefon pintar dan mudah alih paling terkemuka di Malaysia dan menguasai 47 peratus pasaran, diikuti oleh Maxis 32 peratus dan Celcom lapan peratus.

Ia juga berkata, berbanding negara-negara Asia Tenggara lain, rakyat Malaysia cenderung memiliki telefon bimbit mahal termasuk telefon pintar.

Menurut tinjauan itu lebih dari 60 peratus pengguna mudah alih di negara ini memiliki telefon bimbit bernilai US$100 (RM312) dan hampir seperempat memiliki telefon bimbit yang berharga lebih dari US$300 (RM937) berbanding telefon berciri harga rendah yang digunakan meluas di Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Berbeza dengan pasaran Asia Tenggara lain di mana Nokia merupakan pengeluar dominan, Malaysia adalah satu-satunya pasaran yang didominasi Sony Ericson dengan penguasaan pasaran sebanyak 39 peratus, diiikuti oleh Nokia 26 peratus serta Blackberry dan Apple masing-masing enam peratus.

sumber :: Bernama


Google umum carian dalam talian terbanyak rakyat Malaysia


Kuala Lumpur :: Google hari ini berkata carian yang paling pantas meningkat melalui google.com.my bagi tahun ini ialah Facebook, Angry birds dan program realiti TV Maharaja Lawak.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata program Amerika, Next Top Model, X Factor USA dan American Idol 2011 merupakan rancangan TV yang paling banyak dicari tahun ini, manakala iPhone5, iPad2, Samsung Galaxy dan Android adalah carian berkaitan teknologi yang paling popular.

Bagi carian mengenai orang, penyanyi dan penggubah lagu, Bruno Mars mengungguli senarai yang termasuk bintang muzik antarabangsa Avril lavigne, Rihanna dan Justin Bieber, yang wajah masing-masing menduduki tempat teratas dalam senarai carian imej paling popular.

Warga Malaysia yang paling pantas meningkat dalam carian ialah Cikgu Shida, yang mengumpul pengikut yang besar dengan nyanyian bisunya mengikut lagu-lagu sukaramai tempatan dan luar negara.

Warga Malaysia lain dalam senarai ialah penulis blog muda Fatin Liyana dan Haniz Zalikha, ahli politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, ulama Ustaz Karim dan pereka tudung muslimah Hana Tajima.

Destinasi perjalanan antarabangsa terkemuka yang dicari melalui Google Malaysia ialah Kowloon(Hong Kong), pulau Su Mei dan Phuket (Thailand), diikuti oleh Bangkok, Maldives dan Disneyland Hong Kong.

Jurucakap Google, Zeffri Yusof, berkata ‘Zeitgeist’ (perkataan Jerman bagi ‘semangat semasa’) akhir tahun Google itu — yang diperoleh melalui kajian carian yang diterima oleh Google setiap tahun — merupakan pengukur budaya yang mendedahkan segala-galanya yang membuatkan orang teruja, ingin tahu atau semata-mata mahu mengetahui lebih banyak.

“Dari pemimpin, selebriti, hal ehwal semasa hinggalah kepada budaya popular, sukan dan segala-gala di antaranya, trend carian mendedahkan apa yang secara kolektifnya ada dalam fikiran rakyat Malaysia,” katanya.

sumber :: Bernama

Lihat senarai Top 10 carian Google di Malaysia untuk tahun 2011


Konsert Semangat Inspirasi di empat lokasi serentak


Petaling Jaya, 30 November 2011 :: Nantikan gegaran artis-artis hebat di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu dalam acara menyambut tahun baru yang paling hebat, Konsert Semangat Inspirasi anjuran TV3 dengan kerjasama Coca Cola pada 11 Disember 2011 (Ahad) jam 9.00 malam hingga 10.30 malam.

Menanpilkan barisan artis hebat antaranya Tomok, Bunkface, Meet Uncle Hussein, Wings, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Black dan ramai lagi. Konsert Semangat Inspirasi yang bersiaran secara langsung menerusi TV3 dari Bukit Kiara Equestrian Indoor Arena, Kuala Lumpur turut mempersembahkan kumpulan rock indie Britain, One Night Only.

Stesen televisyen nombor satu negara, TV3 dan jenama minuman terkenal di Malaysia, Coca-Cola bertekad untuk menggegarkan belia Malaysia dan membangkitkan semangat mereka untuk mencapai kecemerlangan. Yang pastinya, muzik menjadi platform atau saluran komunikasi terbaik untuk golongan remaja zaman kini.

Menurut Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, “Kolabrasi TV3 dan Coca-Cola bertujuan untuk mengakhiri tahun 2011 dengan gilang-gemilang, menyambut tahun 2012 dengan semangat baru yang positif dan penuh inspirasi. Justeru, persembahan konsert yang berskala besar nyata boleh mencetuskan semangat baru di kalangan penonton kami khususnya golongan remaja dan belia untuk terus melakar kejayaan dalam hidup mereka,”

“Usaha ini juga sebagai tanda penghargaan kami kepada jutaan penonton yang tidak pernah jemu memberi sokongan kepada TV3. Kami menjanjikan hanya yang terbaik akan dipertontonkan kepada anda semua pada 11 Disember 2011,” katanya.

Pengurus Pemasaran Serantau Coca-Cola untuk Singapura, Malaysia dan Brunei, Encik Andrew Jeffrey pula berkata, “Konsert Semangat Inspirasi adalah hasil kerjasama antara dua jenama yang paling terkenal di negara ini, TV3 dan Coca-Cola, sebagai sebahagian daripada kempen ‘Buka Coca-Cola, Buka semangat’ kita yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada belia dan membangkitkan semangat mereka untuk mencapai kecemerlangan melalui bahasa sejagat belia, iaitu muzik,”

“Lagu Buka Semangat oleh Tomok dan kumpulan One Night Only, merupakan persembahan kemuncak konsert ini. Oleh itu, hasil kerjasama antara artis tempatan dan kumpulan antarabangsa ini merupakan satu peringatan kepada semua orang bahawa apa jua boleh dicapai jika anda meletakkan semangat dan tumpuan anda untuk membuat satu kenyataan,” kata Jeffrey.

Selain Kuala Lumpur, Pulau Pinang di utara Malaysia, Johor Bharu di selatan Malaysia dan Kota Kinabalu di timur Malaysia turut dipilih sebagai lokasi Konsert Semangat Inspirasi yang menampilkan artis-artis lama dan baru.

Sepanjang perjalanan konsert yang berlangsung pada malam tersebut, suasana konsert yang berlangsung di Pulau Pinang, Johor Bharu dan Kota Kinabalu juga dapat disaksikan oleh penonton rumah yang mengikuti siaran langsung di TV3. Para penonton turut berpeluang menonton klip video tentang perjalanan seorang anak seni, Tomok yang tidak pernah gentar dengan rintangan dan dugaan yang menguji kekuatannya untuk mencipta nama di persada seni negara. Kejayaan Tomok boleh dijadikan sumber inspirasi kepada para penonton agar terus berusaha untuk mencapai cita-cita.

Acara tersebut akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik di karnival mini dari jam 6 petang hingga 8 malam pada 11 Disember 2011 yang menggabungkan gerai-gerai program TV3 seperti Studio Cereka, MyTV3, Inspirasi Wanita dan TV3 Kids. Selain berpeluang untuk beramah mesra dengan barisan pelakon, pengunjung juga dapat memenangi cenderahati eksklusif melalui trivia dan aktiviti-aktiviti permainan. Kemudahan pengangkutan disediakan dari parkir Pusat Sains Negara ke Bukit Kiara Equestrian Indoor Arena dari jam 6 petang.

sumber :: TV3


%d bloggers like this: