Menu pelik, makan bedak dan sabun


Kuala Kangsar :: “Bagi orang lain, perbuatan ini dianggap tidak masuk akal dan boleh menjejaskan kesihatan, tapi bagi saya ia menjadi menu harian sejak 17 tahun lalu,” kata Mohd Razali Ishak, 63, yang mempunyai tabiat luar biasa apabila menjadikan sabun mandi dan bedak sebagai makanan kegemarannya.

Bapa kepada sembilan anak yang juga bekas penoreh getah itu berkata, pada mulanya dia hanya makan bedak, namun menambah ‘menu’ eksotiknya dengan memakan sabun mandi sejak tujuh bulan yang lalu.

“Saya mula makan sabun mandi selepas tertarik dengan bentuk dan baunya. Selepas menggigit sedikit cebisannya, saya rasa ia begitu enak dan sejak itu mula menjadikannya makanan harian,”

“Sejak tujuh bulan lalu, saya mula makan bedak talkum pula, juga kerana saya suka baunya yang harum. Kini saya mampu menghabiskan dua atau tiga botol bedak 100 gram sehari,” katanya ketika ditemui di rumah anaknya di Padang Rengas, di sini semalam.

Segelintir penduduk yang mendapat tahu mengenai minat pelik warga emas itu yang tinggal di Kuala Lipis, Pahang, pada mulanya beranggapan Mohd Razali tidak waras.

“Saya akui pada beberapa tahun pertama dulu bukan saja jiran sekampung, malah anak-anak termasuk isteri mengatakan saya gila,”

“Selepas gagal menyakinkan mereka, saya membuat keputusan pergi menjalani pemeriksaan di sebuah hospital dan keputusannya mengesahkan saya waras,” katanya.

Dia yang berasal dan tinggal di Sungai Temau, Kuala Lipis berkata, sehingga sekarang, dia masih tidak tahu punca dan kenapa dia memiliki tabiat pelik itu.

“Sudah ribuan kali saya ditanya soalan ini, tapi saya sendiri tidak tahu jawapannya. Ia masih menjadi bagi saya dan keluarga. Tabiat ini bukan sengaja diada-adakan untuk mencari publisiti kerana tiada sebab untuk saya berbuat begitu,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Razali tidak menolak kemungkinan ia ada berkaitan dengan unsur mistik kerana pernah menemui pengamal ilmu perubatan tradisional dalam usahanya menghentikan tabiat pelik itu.

Katanya, usahanya itu selepas gagal mendapatkan jawapan dari doktor bertauliah, juga menemui jalan buntu menyebabkan dia berserah segala-galanya kepada Tuhan.

“Isteri (Rohani Yusup, 57) dan anak-anak sudah berputus asa menasihatkan saya supaya berhenti. Malah, isteri pernah cuba meletakkan tepung gandum dalam bekas bedak kerana bimbang saya akan jatuh sakit kerana makan bedak setiap hari,”

“Namun, usaha itu gagal kerana saya dapat membezakan rasanya. Saya tidak tahu bagaimana menjelaskan perasaan saya ketika makan sabun dan bedak, tetapi jika sehari tidak menjamahnya, saya gelisah seperti ada sesuatu tidak kena,” katanya.

Sementara itu, anak Mohd Razali, Roslinda, 32, berkata, dia dan adik beradik lain sudah letih menasihatkan bapa mereka supaya berhenti mengamalkan hobi pelik itu.

“Kami percaya ayah jadi begini akibat terkena buatan orang menggunakan sihir atau ilmu hitam. Justeru, saya berharap jika ada pihak boleh membantu merawat penyakit ‘unik’ ayah saya,”

“Kami tidak mahu ayah meneruskan tabiatnya makan bedak dan sabun mandi kerana bimbang akan memudaratkan lagi keadaan kesihatannya yang semakin uzur sekarang,” katanya.

sumber :: Harian Metro


Pendapat anda

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: