Jenayah siber, penggodam sasar peminat Angry Bird


Berlin, 21 November 2011 :: Telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android kini menjadi mangsa terbaru dalam serangan jenayah siber.

Penggodam menggunakan kelalaian pengguna yang memuat turun aplikasi tanpa memeriksa terlebih dahulu ketulenan aplikasi.

Aplikasi permainan Angry Bird adalah samaran terbaik untuk penjenayah siber menggodam telefon pintar berikutan ia mempunyai berjuta-juta peminat yang menantikan versi permainan terbaru.

Penjenayah siber menggunakan taktik ini dengan menawarkan aplikasi yang kelihatan seperti permainan asal, tetapi hakikatnya aplikasi ini mengintip pengguna.

Pencuri data dan penggodam ‘menyerang’ telefon pintar kerana fungsi pelbagai gunanya termasuk penggunaan emel perniagaan dan sebagai stor maklumat seperti maklumat peribadi dan perbankan.

Pada prinsipnya, semua jenis telefon pintar pelbagai platfom terancam dengan serangan ini. Namun platfom Android paling terjejas apabila 43 peratus telefon pintar mempunyai perisian Google yang bersifat terbuka.

Bagaimanapun, Google berkata, program Android selamat kerana ia beroperasi di kawasan ‘tertutup’ kerana ia tidak boleh berinteraksi dengan telefon lain dan laluan terhad kepada sistem operasi.

Naamun, pakar keselamatan teknologi maklumat, Alexander Tsolkas berkata, masalah asas ialah pada aplikasi yang dimuat turun pengguna.

“Apabila memuat turun sesuatu aplikasi, pengguna akan diminta meluluskan penggunaannya dan kebanyakan pengguna tidak akan membaca terma dan syarat selain maklumat terperinci mengenai aplikasi itu terlebih dahulu dan hanya meluluskannya,”

“Keadaan ini berpotensi menyebabkan aplikasi berbahaya dimuat turun yang membolehkan penggodam membaca pelbagai maklumat dalam telefon pintar itu,” katanya.


Pendapat anda